Terima
kasih untuk segalanya. Tanpa mu, siapa lah anak mu ini.
Allah
utuskan ayahku padaku agar aku boleh berbahasa Inggeris sementelah rakan-rakan
sekolah rendah baru hendak mengenal suku katanya. Ayah minat berbahasa Inggeris. Ayah
lah orangnya yang selalu temankan anaknya ini menonton English cartoon. Dari
kecil, hingga dewasa. Dan aku, dengan didikan ayah telah mensarankan cartoon
sebagai medium untuk belajar berbahasa Inggeris kepada teman-teman. Allah utuskan
ayahku padaku agar aku boleh berbasikal walau pada awalnya aku terbabas ke
dalam belukar yang dipenuhi rumput semalu. Dari kejauhan, aku lihat ayah
mentertawakan aku. Dan aku, kerana ketawa itu bersungguh-sungguh hendak
menunjukkan pada ayah yang AKU BOLEH!
Kata
ayah, aku anak manja. Kata ayah, biar aku dapat posting kawasan pedalaman
supaya aku tak bergantung pada ayah sepenuhnya. Anak ayah ini selalu merengek
pada ayah hendakkan itu dan ini. Kata ayah, aku tak matang. Umur dah banyak
fikiran masih macam budak-budak. Kata ayah, aku tak pandai kerja dapur. Justeru
ayah ajar aku cara memegang lesung batu, pisau dan cara menuang air dengan betul.
Ayah ajar aku duduk bersimpuh kalau nak jamu tetamu. Sebab anak ayah yang
seorang ini tidak punya kakak hendak dijadikan contoh. Dia cuma membesar
bersama adik-adik lelakinya. Anak ayah yang seorang ini lasak dan tak betah di
dapur. Anak gadis bongsu ayah itupun dah jadi lasak sebab kakaknya ini jauh dari dia. Tapi sekarang anak gadis sulung ayah ini telah menjadi anak gadis sepenuhnya. Berkat
didikan ayah.
Aku
pasti ayah tentu sedang berbangga dengan ku saat jiran-jiran membicarakan
tentang aku yang petah berbahasa Inggeris. Tentang aku yang ulat buku dan tak
suka keluar rumah. Ayah pasti bangga mendengar jiran-jiran membicarakan tentang
aku yang hormat orang tua dan pandai membuat kerja rumah ini. Ayah, semua itu
hasil usaha mu yang tidak pernah kenal erti putus asa (dan jegilan matamu yang selalu membuatku menikus). Seharusnya ayah ku
bangga.
Ayahku
bukan seorang guru. Tapi kegigihan ayah memberi tuition percuma pada anak-anak
jiran membuat aku kagum pada ayah. Ayah kumpul nota-nota kecil dari buku-buku
lama dan ayah kumpul dalam satu fail. Sebelum mengajar aku dan rakan-rakan ku,
ayah juga akan mengulang kaji. Ayah panggil anak-anak jiran untuk belajar
mengaji dan ayah belikan iqra’ dan rehal banyak-banyak. Pelajaran ayah tak
tinggi. Tapi Allah kurniakan ayah otak yang pintar dan hati yang mudah menerima
ilmu. Semoga ilmu-ilmu ayah disebarkan buat bekalan ayah di akhirat kelak.
Ayah,
kalau aku minta jangan dilepaskan aku pada lelaki yang tidak sesabar mu melayan
kerenah ku, boleh? Kalau aku minta jangan dilepaskan aku pada lelaki yang tidak
ikhlas menyayangiku seperti mu, boleh? Kalau aku minta jangan diserahkan aku
pada lelaki yang tidak ikhlas hendak menjagaku sepertimu, boleh? Kalau aku
minta jangan dilepaskan aku pada lelaki yang tidak menyayangimu sepertimana aku
menyayangimu, boleh?
Ayah,
aku mohon pada Allah agar dipanjangkan umur mu. Semoga ayahku selalu punya masa
untuk menambah bekalan akhiratnya. Supaya ayahku sempat berkongsi duit gaji ku.
Aku tahu ayah ku tidak meminta balasan, cuma aku yang mahu ayah berbangga
dengan hasil titik peluhnya mendidik aku.
Ayah,
dari kejauhan ini ku mohon pada Allah semoga ayah kesayanganku sentiasa berada
di dalam lembayung rahmat Allah. Semoga ayah ku tetap tampan walau usianya
sudah mencecah 44 tahun. Semoga ayah ku terus kuat! Dan semoga ibuku tetap utuh
di sisi ayahku. Ayah ku yang juga manja seperti aku.
Dan
ayah, mohon jangan diserahkan aku pada lelaki yang tak setampan mu, boleh? Hik
;D
Dari
anak ayah yang manja-tak matang-cepat nangis-tak tahu memasak dan menjahit tapi
sangat sayang akan ayahnya.
p/s:
Dan ayah, salam isra' mi'raj juga! Terima kasih kerana menjadikan kisah isra'
mi'raj sebagai bed time story ku. Cerita mu yang tak pernah jemu ku dengar?
Tentunya kisah Bahtera Nabi Nuh! Aku sayang ayah!

No comments:
Post a Comment